KJ : MaghfirahMu Inspirasiku

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

jumaat1

.

Khutbah Jumaat: Maghfirah-Mu Inspirasiku

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِل:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ 

أَشْهَدُ أَن لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، 

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. 

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، إِتَّقُوا اللهَ، أُوْصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ.

.

 

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

 

Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa. Dalam bulan Ramadhan di mana siang dan malamnya dipenuhi keberkatan ini, maka marilah kita mengambil peluang keemasan ini untuk menghasilkan ibadat puasa yang memenuhi standard atau kualiti yang ditentukan Allah SWT.

 

Alhamdulillah, dalam keadaan negara kita yang cukup aman dan makmur di bawah kepimpinan yang bijaksana, kita masih berpeluang meneruskan ibadah puasa tanpa sebarang gangguan dan ancaman. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini menjadikan kita insan yang dikasihi Allah, membawa kebahagian di dunia dan akhirat. Tajuk mimbar Jumaat pada hari ini ialah: “MAGHFIRAHMU INSPIRASIKU”

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

 

Kita sudah menghampiri pertengahan bulan yang penuh keberkatan ini. Sudah pastinya kita telah mengorak langkah dan mencapai kenikmatan dalam mengerjakan ibadah termasuklah ibadah solat sunat Tarawih. Namun ukurannya, langkah yang telah dimulakan harus sentiasa dikemaskini. Apakah kita semakin merasa kelazatan dalam beribadah dan kehidupan kita semakin berubah mengikut panduan Ramadhan yang berkat, seterusnya mendapat maghfirah dan rahmat Allah SWT. Selari dengan keberkatan bulan yang penuh rahmat ini, maka Allah SWT menjanjikan ganjaran pahala yang berlipat ganda untuk mereka yang senantiasa mencari dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

 

Firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 97:

مَنْ عَمِلَ صَٰلِحًۭا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌۭ فَلَنُحْيِيَنَّهُۥ حَيَوٰةًۭ طَيِّبَةًۭ ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan”.

.

Sewajarnya kita perlu sedar bahawa Allah SWT membuka pintu rahmat-Nya di bulan Ramadhan. Antaranya pintu syurga di buka, manakala pintu neraka ditutup, pintu keampunan dibuka seluasnya dan syaitan dirantai. Oleh itu diri manusia terdorong melakukan kebaikan, bahkan Allah SWT melipatgandakan ganjaran di bulan Ramadhan.

 

Persoalan besar timbul ialah bagaimanakah kita untuk meraih ganjaran pahala yang hebat itu?

 

Secara ringkasnya mimbar ingin menyatakan :

 

Pertama: Kita hendaklah mempunyai keinginan dan keazaman yang tinggi dan kuat. Sebanyak mana kuatnya keinginan dan keazaman untuk melaksanakan kefardhuan sebanyak itulah terhindarnya keburukan. Keinginan ini harus disokong dengan pengetahuan yang benar dan penghayatan terhadap nilai-nilai sesuatu amalan berlandaskan ajaran Islam.

 

Sebagai contohnya, bagi menggalakkan umat Islam berpuasa di bulan Ramadhan, kita dituntut menunaikannya dengan iman dan ihtisab iaitu menjiwai ganjarannya sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

kj maghfirah 1Maksudnya: Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu. (Riwayat Bukhari)

.

Kedua: Menjalani latihan dalam tempoh masa yang berterusan. Sedarlah kita sebenarnya telah diberi satu tempoh yang mencukupi untuk faedah jasmani dan rohani. Latih tubi pelbagai aktiviti samada yang fardhu atau sunat yang kita jalani setiap waktu perlu dilaksanakan dengan semangat  berbeza dengan masa sebelumnya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  “Bahawa amalan agama yang disukai Allah SWT ialah yang dilakukan oleh seseorang secara berkekalan.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim).

 

Yakinlah hasil daripada latihan ini kita diberikan bekalan dan tenaga yang mampu untuk kita manfaatkan dalam mengharungi liku-liku kehidupan. Cuba kita bayangkan sekiranya nikmat yang dikecapi tanpa henti itu adalah merupakan maghfirah dan keampunan Allah. Sudah pasti tiada ruang untuk tabiat buruk menguasai diri seseorang.

.

Dan ketiga: Sasaran yang menyeluruh dan umum. Ketahuilah sidang jemaah sekalian, puasa di bulan Ramadhan mengandungi didikan untuk setiap lapisan masyarakat. Ia juga merangkumi tarbiyah yang zahir dan batin. Umat Islam yang ingin melakukan perubahan sebenarnya bukan bersendirian akan tetapi bersama-sama dengan orang lain yang inginkan perubahan ke arah kebaikan. Namun ujian setiap manusia berbeza.

 

Oleh yang demikian, satu persoalan ditimbulkan, Apakah kita semakin merasai penderitaan insan yang kurang bernasib baik?. Apakah kita semakin peka dengan perubahan yang berlaku di sekeliling kita lebih-lebih lagi yang membabitkan Islam dan umatnya?.

 

Keprihatinan satu pihak terhadap pihak lain dalam ujian yang dihadapi dapat meringankan bebanan yang dihadapi oleh mereka seterusnya dapat membantu mereka merebut rahmat Allah dan keampunannya di bulan mulia ini.

 Rasulullah SAW pernah bersabda:

kj maghfirah 2Bermaksud: “Barangsiapa yang memintakan ampunan (kepada Allah) bagi kaum mukminin dan mukminat, maka Allah akan menulis bagi setiap mukmin dan mukminah satu kebaikan (pahala).” (Riwayat at-Tabarani)

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

 

Ketahuilah bahawa taqwa adalah buah dan hasil yang diharapkan  dari amalan di bulan Ramadhan. Buah tersebut akan menjadi bekalan orang beriman dan menjadi perisai agar diri manusia tidak terjebak dalam jurang maksiat dan kejahatan. Usahlah kita lalai dan leka dari memanfaatkan bulan yang hanya tiba sekali dalam setahun ini kerana kita belum tahu bilakah nyawa kita akan dibawa menghadap Ilahi. Bayangkanlah, apakah nasib dan balasan yang akan diterima jika kita menemui ajal dalam keadaan yang lalai dan tidak sempat bertaubat?. Sudah pasti kita akan menerima azab dan seksaan yang sangat dahsyat.

.

Maka, bagi orang yang bertaqwa kepada Allah SWT, ia akan melaksanakan ajaran Islam secara menyeluruh. Dia tidak akan melihat, mendengar, mengucapkan dan melakukan perkara yang diharamkan.Dia juga tidak akan membiarkan maksiat berterusan. Dia hanya melakukan sesuatu yang dituntut dan diperbolehkan Allah. Dia hanya berada di tempat yang mendatangkan keredhaan Allah dan menjauhi tempat yang mendatangkan kemurkaan Allah.

.

Abu Umamah berkata Rasulullah SAW  bersabda, Barang siapa mengambil hak seorang muslim, maka Allah Taala mewajibkannya masuk ke dalam neraka dan mengharamkaannya masuk ke dalam syurga. Seorang bertanya, meskipun dari sesuatu yang sangat remeh, wahai Rasulullah. Ya meskipun barang itu hanya sepotong kayu sugi.”

 

Demikian sabda Rasulullah bahawa hanya sepotong kayu sugi yang diambil dengan tanpa izin pun masuk neraka. Dengan demikian menurut hadith ini, kita mesti berwaspada mengenai mengambil hak-hak orang lain, melanggar amanah yang ditetapkan dan perbuatan yang diharamkan. Di dalam al-Quran disebutkan bahwa mereka yang bertaqwa akan dimasukkan ke dalam syurga secara berkumpulan dan pintu-pintu syurga dibuka seluas-luasnya.

.

Percayalah bahawa taqwa yang menjadi tujuan utama kita berpuasa bukanlah perkara mudah yang hendak dicapai. Bahkan para sahabat pun melahirkan kerisauan membentuk sebenar-benar taqwa sehingga turun ayat al-Quran dalam surah at- Taghaabun ayat 16:

فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ مَا ٱسْتَطَعْتُمْ وَٱسْمَعُوا۟ وَأَطِيعُوا۟ وَأَنفِقُوا۟ خَيْرًۭا لِّأَنفُسِكُمْ ۗ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِۦ فَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu; dan dengarlah serta taatlah; dan membelanjakan harta kamu (dijalan kebaikan) adalah baik untuk diri kamu. Dan sesiapa yang menjaga dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang yang berjaya.

.

Seorang muslim itu adalah orang yang taat kepada Allah dan tidak mengikut perintah hawa nafsu. Pertembungan kepentingan antara taqwa dan kehendak gelojak hawa nafsu manusia sentiasa menimbulkan konflik dalam diri manusia. Pertembungan ini akan menentukan halatuju dan status fitrah kehidupan kita. Tetapi untuk mencapai kecemerlangan taqwa ini, maka seseorang itu memerlukan penglibatan diri dalam perjuangan, kesabaran dan jihad melawan nafsu. Jika gagal maka kita akan mengikut telunjuk hawa nafsu.

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

 

Selari dengan prinsip keluarga bertaqwa dan soleh yang bermula di rumah, maka mimbar menyeru, marilah para jemaah, ibubapa serta umat Islam hiasilah dan bentuklah ahli keluarga kita menjadi insan bertaqwa dengan amalan latih tubi di bulan Ramadhan dan digilap pula dengan amalan-amalan sunat siang dan malam.

.

Walaupun bulan impian ini kelihatan memberi kesukaran dan ujian berat kepada umat Islam tetapi ia adalah anugerah Allah kepada hamba-Nya untuk mencari maghfirah sebagi satu inspirasi kehidupan. Penuhilah ruang dan masa sepanjang bulan yang mulia ini dengan melakukan perkara-perkara kebajikan, kebaikan dan berpahala.

 

Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 97:

مَنْ عَمِلَ صَٰلِحًۭا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌۭ فَلَنُحْيِيَنَّهُۥ حَيَوٰةًۭ طَيِّبَةًۭ ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.”

 .

kj korban 6

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Maghfirahmu Inspirasiku

(19 Julai 2013 / 10 Ramadhan 1434H)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

sign s

.

Advertisements

2 responses to this post.

  1. Posted by ibnuqayyum on 19/07/2013 at 3:44 pm

    Salam Ustaz..maaf..sebenarnya saya bukan mak komen..tapi izin saya bertanya…utk musafir..macam mana sebenarnya cara utk menjamak dan mengqasar solat Asar selepas menunaikan solat Jumaat. Harap Ustaz dapat beri sedikit pencerahan.

    Reply

    • وَعَلَيْكُمْ السَّلاَمُ وَرَحْمَةُ الله ِوَبَرَكَاتُه

      Diniatkan solat Jamak Takdim dan Qasar dipermulaan solat Jumaat. Selepas beri salam, terus bangun buat Jamak Takdim dan Qasar Asar 2 rakaat.

      والله أعلم بالصواب
      Wallahu A’lam Bish Shawab

      Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: