Maksud Asal Nama Bulan-Bulan Islam

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

.

Allah Subhanahuwata’ala (سبحانه و تعالى) berfirman:

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ‌ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ‌ شَهْرً‌ا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْ‌ضَ مِنْهَا أَرْ‌بَعَةٌ حُرُ‌مٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِ‌كِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ ﴿٣٦

“Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram, Rejab). Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu dan perangilah kaum Musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawasanya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.”

(Surah Al-Taubah : 36)

.

Dua belas bulan yang disebut oleh Allah سبحانه و تعالى di dalam ayat di atas telah dihuraikan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم  di dalam sebuah hadith yang telah diceritakan oleh Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم  memberikan khutbah ketika ibadah haji dengan berkata:

“Ketahuilah bahawa masa berputar seperti mana hari Allah menciptakan langit dan bumi, setahun ada 12 bulan antaranya empat bulan haram, tiga daripadanya berturutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab yang terletak antara Jamada dan Syaaban.” (riwayat Imam Ahmad).

.

Bulan dalam bahasa Arab disebut “Al-Syahru” bermaksud bulan yang merujuk kepada bulan-bulan yang terdapat dalam Islam yang dipanggil bulan-bulan Hijriyah. Tarikh Hijriyah Islam yang pertama adalah bermula dari perisiwa Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم  dan umat Islam berhijrah ke Madinah.

.

Kebanyakan nama tersebut berasal dari Bangsa Arab Tradisional yang diambil daripada cuaca semasa atau sesuatu peristiwa besar berlaku ataupun sempena peristiwa besar yang berlaku. Walau bagaimanapun, oleh kerana semua bulan berubah 11 hari lebih awal setiap tahun, maka musim atau peristiwa asal tidak begitu mempengaruhi nama sesetengahnya kini.

.

Nama-nama bulan Arab yang telah diiktiraf sebagai bulan Islam dan telah dirasmikan penggunaannya oleh Saidina Umar al-Khattab r.a adalah seperti berikut :

.

    Muharam ( محرّم)

Bulan ini mengambil perkataan “Haram” yang bermaksud terlarang. Ini disebabkan budaya atau tradisi Arab mengharamkan sebarang peperangan pada bulan ini. Selepas munculnya Islam, Rasulullahصلى الله عليه وسلم  meneruskan budaya ini lantas menjadi satu antara empat bulan haram dalam Islam.

.

    Safar (صفر)

Safar adalah bulan ke-2 dalam bulan Islam. Safar diambil dari kata “shifr” yang bermaksud ‘sifar’ atau ‘kosong’. Rumah menjadi kosong kerana penduduk Arab Badwi ketika itu keluar dari kampung meninggalkan rumah mereka kerana berperang dan mencari makanan sebagai persiapan menghadapi musim panas.

Perkataan Safar juga bermaksud tiupan angin. Ketika nama tersebut mula diguna pakai, kemungkinan yang ketika itu adalah waktu yang berangin.

.

    Rabiulawal (ربيع الأول)

Rabiulawal merupakan bulan Islam yang ke-3. Rabiulawal bermakna bulan pertama musim bunga iaitu biasanya waktu ini pokok mula menghijau dan tumbuhan mengeluarkan bunga.

.

    Rabiulakhir (ربيع الآخر/ ربيع الثاني)

Rabiulakhir merupakan bulan Islam yang ke-4. Rabiulakhir bermakna bulan kedua musim bunga iaitu waktu ini pokok dan tumbuhan telah sampai ke kemuncak mengeluarkan bunga.

.

    Jamadilawal (جمادي الأول)

Jamadilawal (Jamada al-Awwal) merupakan bulan ke-5. Bulan pertama musim panas. Perkataan “Jamada” bermaksud kering, di mana bulan ini merupakan musim kemarau yang bermula pada bulan Jamadilawal dan berakhir pada Jamadilakhir.

.

    Jamadilakhir (جمادي الآخر / جمادي الثاني)

Jamadilakhir (Jamada al-Akhir) merupakan bulan ke-6. Bulan kedua musim panas. Jamadilakhir merupakan musim kemarau yang akan berakhir keadaan bulan ini juga lebih sejuk daripada sebelumnya yang membawa maksud telaga menyejuk adalah suatu yang biasa ketika itu.

.

    Rejab (رجب)

Rejab adalah bulan ke-7. Rejab bermaksud mengagungkan dan membesarkan. Bulan ini salah satu bulan yang dihormati dan pintu Ka’bah dibuka. Menurut sejarahnya, bulan Rejab dimuliakan orang Arab dengan menyembelih anak unta pertama dari induknya.

Rejab juga merupakan satu lagi bulan suci yang diharamkan perlawanan atau peperangan dilarang berperang.

Ia dikenali juga sebagai ‘Rajab Al-A’sham’ (Rajab yang sunyi) dan ‘Rajab al Fard’. Fard bermaksud keseorangan atau bersendirian kerana tiga bulan suci yang lain berada jauh dan berturutan berbanding Rejab terasing di tengah-tengah.

.

    Syaaban (شعبان)

Bulan Syaaban terbit dari perkataan “sya’bun” yang ertinya ‘kelompok’ atau ‘golongan’ dan “syu’ba” yang bermaksud berpecah, menyimpang dan berselerak. Masyarakat Arab terdahulu keluar bertebaran dan berpecah secara berkelompok setelah terpaksa berkurung di rumah ketika bulan Rejab yang kering.

Pada bulan Syaaban ini juga, mereka keluar beramai-ramai berselerak dan berpecah mencari air dan bekalan makanan.

.

    Ramadhan (رمضان)

Ramadhan merupakan bulan ke-9 dalam kalendar Islam. Diambil daripada perkataan “ramda”, yang bermaksud batu panas. Ia juga bererti terik atau terbakar, Ini menceritakan keadaan panas ketika nama tersebut diberikan. Kebiasaannya pada bulan ini, cuaca sangat terik dan amat panas di Semenanjung Arab ketika itu.

Dan setelah kemunculan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم, bulan ini merupakan bulan puasa bagi umat Islam.

.

    Syawal (شوال)

Syawal merupakan bulan ke-10 dalam kalendar Hijrah. Syawal dalam bahasa Arab berasal dari kata “syalat” yang bermaksud ‘mengangkat’ dan dari kata kerja ‘Tasyawwala’ yang bermaksud sedikit atau berkurangan. Syawal dinamakan sedemikian kerana bulan ini adalah musim di mana unta betina mengangkat ekor mereka kerana tidak mahu dikawini unta jantan dan musim ini juga di mana unta kekurangan susu kerana kebanyakan unta-unta betina bunting.

Manakakala setelah kedatangan Islam, Syawal merupakan bulan peningkatan kebajikan setelah melewati masa latihan pengendalian diri selama sebulan penuh dengan puasa Ramadan. Pada awal bulan Syawal, kaum Muslim merayakan Hari Raya Idul Fitri atau perayaan kemenangan melawan hawa nafsu.

.

    Zulkaedah (ذو القعدة)

Zulkaedah merupakan bulan ke-11. Perkataannya diambil daripada kata ‘Qa‘ada’ atau ‘al-qa’du’ yang bermaksud duduk. Pada bulan ini, masyarakat jahiliah mula menetap di rumah dan tidak melakukan peperangan kerana bulan ini merupakan awal dari tiga rangkaian bulan haram.

Inilah bulan suci ketiga yang diharamkan sebarang pertempuran. Kebanyakan orang juga mula menghentikan aktiviti perniagaan mereka untuk duduk dan bersedia untuk menunaikan Haji.

.

    Zulhijjah (ذو الحجة)

Zulhijjah adalah bulan ke-12 dan bulan terakhir dalam setahun Hijrah. Ini adalah bulan suci terakhir dan dilarang melakukan sebarang pertempuran kerana pada bulan ini, haji dilaksanakan. Bulan ini disebut Zulhijah (Az Zu al-Hijjah) yang bererti “yang empunya haji”. Perkataan tersebut juga mengambil perkataan “haji” sebagai rujukan nama bagi bulan haji iniiaitu waktu masyarakat Arab sibuk mengerjakan ibadah haji ke Baitullah.

Pada zaman sebelum kedatangan Islam, bulan ini merupakan bulan untuk melakukan ibadah haji ke Makkah (Kaabah). Setelah kedatangan Islam, ibadah haji masih tetap dilaksanakan pada bulan Zulhijjah iaitu pada tarikh 8, 9 dan 10 Zulhijjah.

.

.

Berdasarkan makna setiap bulan yang dinyatakan, pastinya masing-masing mempunyai kelebihan dan keistimewaannya. Muslim yang cemerlang tidak akan memilih bulan tertentu untuk beribadat kepada Allah سبحانه و تعالى. Seseorang itu perlulah sentiasa beristiqamah dan beriltizam menjunjung segala suruhan dan perintah Allah سبحانه و تعالى pada setiap masa dan keadaan sehinggalah dijemput menghadap Allah سبحانه و تعالى kelak.

Maka marilah kita sama-sama panjatkan kesyukuran dan doa kepada Allah سبحانه و تعالى atas kesempatan diberikan peluang hidup untuk sekian kalinya. Seterusnya kita perlu persiapkan diri dengan berazam dan melakukan hijrah bagi menghadapi permulaan Awal Muharam dan tahun baru ini demi perubahan untuk menghadapi ibadah berkualiti dan kehidupan mukmin sejati di tahun-tahun mendatang. InsyaAllah.

.

.

والله أعلم بالصواب

Wallahu A’lam Bish Shawab

 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

About these ads

2 responses to this post.

  1. [...] Maksud Asal Nama-Nama Bulan Islam  (Klik Di Sini) [...]

    Reply

  2. [...] Maksud Asal Nama Bulan-Bulan Islam  (Klik Di Sini) [...]

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 2,204 other followers

%d bloggers like this: