KJ : Cahaya Ramadhan Memberkati Idulfitri

 بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

.

Khutbah Jumaat: “Cahaya Ramadhan Memberkati Idulfitri”

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan memperkukuhkan pengabadian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan pada hari yang penuh kebahagian ini menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Tajuk mimbar Jumaat pada hari ialah: “CAHAYA RAMADHAN MEMBERKATI IDULFITRI”.

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Bulan Ramadhan sudah sampai ke penghujungnya, ianya pasti memberi satu kesan di dalam jiwa orang-orang yang beriman. Didikan Ramadhan yang mendisiplinkan diri kita sepanjang hari, memberikan suatu pengisian yang sangat bermakna dalam menjalani kehidupan yang berkualiti.

.

Ramadhan yang dipenuhi dengan tuntutan-tuntutan fardhu mahupun sunat mampu mengawal pancaindera segala anggota seperti mata, telinga, mulut, nafsu makan minum dan nafsu serakah agar tidak merosakkan ibadah puasa. Alangkah eloknya sekiranya dapat kita teruskan kesinambungan Ramadhan di bulan-bulan yang akan datang.

.

Bagi mereka yang berjaya melaksanakan segala tuntutan ini akan merasa gembira dengan menerima anugerah iaitu Idulfitri yang disyariatkan oleh Allah SWT untuk umat Islam merayakannya dengan penuh kesyukuran. Bagi menzahirkannya kita melafazkan takbir, tahmid dan tasbih serta melaksanakan segala amal bakti yang diredai oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al- Baqarah ayat 185:

Maksudnya: Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.

                    .

Sesungguhnya pengertian Idulfitri membawa makna yang mendalam iaitu aid’ bererti kembali, perayaan atau ulangtahun. Manakala fitri bermaksud berbuka atau makan minum, di mana seluruh umat Islam pada hari ini diwajibkan berbuka dan diharamkan berpuasa. Ia juga membawa maksud fitrah atau tabiat asal kejadian manusia yang suci bersih, di mana setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadhan.

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Bagi memberkati Idulfitri yang bakal di sambut ini, maka beberapa amalan perlu dilaksanakan yang berdasarkan kepada sirah Rasulullah SAW  ketika menjelangnya tiba Idulfitri  antaranya ialah:

Pertama: Memperbanyakkan bertakbir dan bertahmid. Baginda melakukannya bermula daripada terbenamnya matahari pada hari akhir Ramadhan hingga selesainya solat Idulfitri.Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: Hiasilah hari raya kamu dengan takbir. (Riwayat at-Tabarani)

 

          .

Menurut Umar RA dan Ibnu Mas’ud RA bahawa bacaan takbir yang lazim dibaca oleh Rasulullah SAW adalah: Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illalahu Wallahu Akbar, Allahu Akbar wa Lillahil-Hamd.  

Kedua: Mengambil sedikit makanan sebelum ke masjid. Berdasarkan kepada satu hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari yang bermaksud: Rasulullah SAW memakan beberapa biji kurma sebelum Baginda berangkat ke tempat solat hari raya”, 

Ketiga: Berpakaian cantik, kemas dan indah serta berwangi-wangian untuk menunaikan solat dan menyambut Idulfitri.

Keempat: Membawa isteri dan anak-anak ke tempat solat Idulfitri.

Kelima: Bersolat Idulfitri secara berjemaah. Rasululllah SAW sentiasa melaksanakan solat Idulfitri secara berjemaah samada  di padang atau di lapangan terbuka. Sayidina Jabir bin Abdullah RA mengisahkan: Saya telah bersama Rasulullah SAW dalam majlis solat hari raya. Baginda memulakan solat sebelum berkhutbah tanpa didahului oleh azan dan iqamat. Setelah selesai solat, Baginda terus bangun dengan tiada berpaut kepada Sayidina Bilal lalu berkhutbah menyeru umatnya takut dan bertakwa kepada Allah dengan melaksanakan pelbagai suruhan-Nya dan meninggalkan semua larangan-Nya.”

Keenam: Pergi dan balik dari tempat solat melalui jalan yang berbeza Tujuan Baginda berbuat sedemikian adalah untuk bertemu dengan lebih ramai orang yang berbeza. Baginda bersalam-salaman, memohon maaf zahir dan batin. dan

Ketujuh: Berbalas salam dan saling mengucapkan selamat Idulfitri. Apabila bertemu, para sahabat Rasulullah SAW sentiasa memberi dan menjawab ucapan salam Idulfitri dengan berkata:  Taqabbalallahu Minna wa Minkum” (Semoga Allah menerima segala kebaikan kami dan kebaikan kamu).

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Dalam menyambut Idulfitri ini, umat Islam juga di wajibkan membayar zakat fitrah sebagaimana sabda Rasullulah SAW:

Maksudnya: Rasulullah SAW telah menentukan wajibnya zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa dari perkataan sia sia dan perkataan yang buruk dan juga untuk menjadi makanan orang miskin. Oleh itu, sesiapa yang menunaikannya sebelum hari raya maka ianya menjadi zakat fitrah, dan sesiapa yang menunaikannya sesudah hari raya maka menjadilah ia sedekah biasa seperti sedekah sunat yang lain. ”

(Riwayat Abu Daud)

.

Islam mensyariatkan zakat fitrah, agar setiap orang yang berpuasa dapat menghayati watak sebenar manusia yang mahu kembali kepada fitrah. Apabila berpuasa, maka umat Islam dididik untuk menghayati erti kesusahan, kelaparan dan menginsafi kehidupan dan zakat fitrah seolah-olah menjadi kemuncak kepada menghayati kesusahan dan erti kelaparan itu. Ramadhan wajib dilunasi dengan memberikan sedikit kekayaan yang dimiliki kepada orang miskin yang hakikatnya sentiasa merasai keperitan hidup, Sebab itulah, orang yang berpuasa dengan sepenuh hati, maka mereka akan benar-benar memahami kewajipan zakat fitrah ini dan akan segera menunaikannya, demi mendapat ganjaran besar di sisi Allah SWT.

.

Mimbar ingin menyatakan bahawa saudara-saudara kita yang kesempitan hidup mungkin bersedihan pada hari lebaran ini. Hiburkanlah hati dan kehidupan mereka, marilah kita tanamkan rasa kasih sayang dengan menyemarakkan semula semangat cinta seagama yang sudah kian malap. Kita suntikan kenangan Ramadhan agar dapat melahirkan rasa kesyukuran dan kebersamaan antara kita sesama insan. Namun, di dalam keghairahan meraikan Idulfitri, janganlah sampai kita melakukan pembaziran. Bebelanjalah dengan mengikut kemampuan, jangan sampai berhutang dan bergolok bergadai sehingga ada yang sanggup mengeluarkan wang simpanan atau tabungan, semata-mata memenuhi kehendak nafsu berbelanja. Raikan Idulfitri dengan berpada-pada dan tidak membazir kerana ia dibenci oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT di dalam Surah al-Isra’ ayat 27:

17:27

Maksudnya: Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Mimbar juga berpesan semasa kita pulang ke kampung halaman masing masing, hendaklah kita memandu dengan penuh kesabaran, membaca doa sebelum memulakan perjalanan dan berhati-hati serta mematuhi segala peraturan di jalan raya. Ingatlah kepulangan kita dinanti orang insan yang tersayang dengan kegembiraan bukannya dengan tangisan berpanjangan. Berdasarkan statistik kemalangan jalan raya semasa musim perayaan Idulfitri 2011, menunjukkan kadar kemalangan jalan raya begitu tinggi iaitu berjumlah 19,609 kemalangan. Kita mengharapkan kadar kemalangan ini tidak akan berulang lagi pada Idulfitri kali ini. Mimbar juga berpesan semasa kita pulang cuti beraya pastikan keselamatan rumah dalam keadaan sempurna dengan pintu dikunci, bekalan elektrik dipadam, memaklumkan kepada jiran serta melaporkan kepada pihak keselamatan ataupun polis semasa ketiadaan kita dirumah.

.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita memberkati Idulfitri yang akan kita rayakan ini dengan cahaya Ramadhan. Bagi kita yang diberikan kesempatan untuk melalui Ramadhan al-mubarak dan Syawal yang penuh keberkatan ini, marilah sama-sama kita memperbanyakkan bekalan dengan menjadikan detik-detik kehidupan kita selanjutnya diwarnai oleh amal-amal soleh sebagai kesinambungan dari amalan sepanjang Ramadhan yang akan berlalu ini. moga-moga ianya diterima oleh Allah SWT sebagai amalan yang diredhainya. Mimbar juga mengambil kesempatan untuk memohon kemafaan seandainya ada kesalahan dan kesilapan yang berlaku. Selamat hari raya Idulfitri.

.

49:10

Maksudnya: Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat. (al-Hujurat ayat 10)

 .

.

.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Cahaya Ramadhan Memberkati Idulfitri”

(17 Ogos 2012 / 28 Ramadhan 1433H)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

Posted by; shafiqolbu

.

Leave a comment