TAWAKAL ALALLAH

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Tawakal Burung.

Definisi Tawakal

‘Tawakal’ (توكُل‎) berasal dari perkataan Arab ‘Wakalah’ yang bererti memilih wakil, mewakilkan atau menyerahkan urusan kepada pihak yang lain.

 

Menurut Abu Zakaria Ansari, ‘Tawakal’ ialah “Keteguhan hati dalam menyerahkan urusan kepada orang lain.” Sifat sedemikian berlaku selepas timbulnya rasa percaya kepada orang yang diserahkan urusan tadi. Maksudnya, dia mesti mempunyai sifat amanah (dipercayai) terhadap apa yang diamanahkan dan dia boleh memberikan rasa tenang dan selamat terhadap orang yang memberikan amanah tersebut.

.

Dalam agama Islam, ‘Tawakal’ adalah sikap seseorang Muslim yang ikhlas dan benar2 berserah diri sepenuhnya kepada Keagungan dan Kekuasaan Allah سبحانه وتعالى  dalam menghadapi atau menunggu hasil dari sesuatu usaha, pekerjaan atau menanti akibat dari suatu keadaan. Ia akan menjurus kepada menghayati fitrah sebenar kejadiannya sebagai makhluk ciptaan Allah Yang Maha Esa, yang mana seseorang itu sentiasa menyedari dirinya mempunyai kelemahan dan kekurangan.

.

Imam al-Ghazali pula merumuskan definisi ‘Tawakal’ sebagai, “Tawakal ialah menyandarkan kepada Allah سبحانه و تعالى  tatkala menghadapi suatu kepentingan, bersandar kepadaNya dalam waktu kesukaran, teguh hati ketika ditimpa bencana disertai jiwa yang tenang dan hati yang tenteram.”

.

Ringkasnya ‘Tawakal’ adalah suatu sikap spritual seseorang yang merupakan hasil dari keyakinan yang sepenuhnya kepada Allah, kerana di dalam tauhid ia diajar agar meyakini bahawa hanya Allah سبحانه وتعالى  yang mencipta segala2nya, pengetahuanNya Maha Luas, Dia yang menguasai dan mengatur alam semesta ini. Keyakinan inilah yang mendorong kita untuk menyerahkan segala persoalann kepada Allah سبحانه وتعالى  . Hati kita akan berasa tenang dan tenteram serta tidak ada rasa curiga, kerana Allah Maha Tahu dan Maha Bijaksana.

.

.

Konsep Sandaran Dan Tawakal

.

Dalam meletakkan sandaran dan perwakilan sebagai kepercayaan sepenuh hati bagi sesuatu urusan, pastinya diperlukan seseorang wakil yang diyakini dan diketahui kredibilitinya dan melengkapi empat sifat, iaitu :

  1. Muntahal-Hidayah (kepercayaannya dan diyakini kebenaran),
  2. Muntahal-Quwwah (paling kuat atau mempunyai kemampuan),
  3. Muntahal-Fashahah (paling lancar dan cukup berpengetahuan),
  4. Muntahas-Syafaqah (diyakini paling perihatin dan kasih sayang).

Tiada makhluk yang diciptakanNya berupaya memenuhi semua 4 sifat di atas untuk disandarkan kepercayaan. Semua sifat dan kateria di atas hanyalah milik Allah سبحانه وتعالى  sahaja.

.

Ibnu Rajab Rahimahullah dalam Jami’ul Ulum wal Hikam berkata :

“Tawakal adalah penyandaran hati pada Allah untuk meraih berbagai kemaslahatan dan menghilangkan bahaya dalam urusan dunia mahupun akhirat, menyerahkan semua urusan kepadaNya serta meyakini dengan sebenar-benarnya bahawa tidak ada yang memberi, menghalangi, mendatangkan bahaya dan mendatangkan manfaat kecuali Allah semata.”

.

Tawakal bukanlah hanya sikap bersandarnya hati kepada Allah سبحانه وتعالى  semata-mata, namun disertai juga dengan melakukan usaha.

Ibnu Rajab berkata lagi :

“Menjalankan tawakal tidaklah bererti seseorang harus meninggalkan sunnatullah yang telah ditetapkan dan ditakdirkan. Kerana Allah memerintahkan kita untuk melakukan usaha, sekaligus juga memerintahkan kita untuk bertawakal. Oleh kerana itu, usaha dengan anggota badan adalah termasuk ketaatan kepada Allah, sedangkan tawakal dengan hati merupakan keimanan kepadaNya.”

.

Sahl At Tusturi berkata bahawa :

“Sesiapa mencela usaha (meninggalkan sebab), maka dia telah mencela sunnatullah (ketentuan yang Allah tetapkan). Sesiapa mencela tawakal (tidak mahu bersandar pada Allah), maka dia telah meninggalkan keimanan.”

.

.

3 PERINGKAT TAWAKAL

Dalam bertawakal ada peringkat-peringkat yang boleh dijadikan kayu ukur kebergantungan kita;

.

Tawakal Peringkat Pertama

Pengharapan seseorang kepada Allah سبحانه وتعالى  atas perlindungan dan memenuhi keinginannya, seperti seseorang yang menyerahkan segala urusannya kepada orang yang mewakilinya atau terikatnya seseorang pelanggan kepada penganjurnya. Dia menyerahkan sesuatu namun tiba suatu masa ia boleh menarik kembali perjanjian dan menyerahkannya kepada pihak lain yang lebih dipercayai.

.

Tawakal Peringkat Ke-Dua

Pengharapan seseorang kepada Allah سبحانه وتعالى  seperti seorang anak yang hanya bergantung kepada ibu bapanya atau sikap terlalu bergantungnya seorang bayi terhadap ibunya. Dia tidak mengenali orang lain selain ibunya, tidak merengek dan meminta susu kecuali kepada ibunya, ia tidak berserah diri kecuali kepada ibunya. Namun bayi itu dapat juga berbuat sesuatu yang diinginkannya di luar pengetahuan ibu bapanya. Kebergantungannya kepada si ibu kerana adanya keinginan dan pengharapan yang tiada pada orang lain, selain ibunya.

.

Tawakal Peringkat Ke-Tiga

Pengharapan seseorang kepada Allah سبحانه وتعالى  bagaikan kebergantungan suatu mayat yang menyerahkan sepenuh urusan dirinya kepada orang yang masih hidup. Jenazah tidak tahu apa lagi yang diperbuat oleh orang yang memandikannya. Ia menyerah segala apa saja perlakuan yang diberikan terhadapnya.

.

.

Tawakal AlaLLah

.

Oleh kerana itu, Tawakal kepada Allah سبحانه وتعالى  tidak mempunyai maksud lain kecuali manusia menjadikan Allah سبحانه وتعالى  sebagai wakilnya dalam menanti sesuatu keputusan, menghadapi persoalan, musibah, musuh, para penentang dan segala masalah yang sedang dihadapinya.

 .

Ketika seseorang telah sampai pada jalan buntu dalam usaha mencapai tujuan dan tidak mempunyai kemampuan lagi untuk menyelesaikan serta memecahkan persoalannya, ia akan menyandarkan diri kepadaNya tanpa menghentikan usahanya. Bahkan, ia mempuyai kemampuan untuk terus melakukan pekerjaannya dan tetap menganggap bahawa faktor utama yang boleh menyelesaikan masalahnya adalah Allah سبحانه وتعالى  sahaja.

.

Firman Allah سبحانه وتعالى  :

وَيَرْ‌زُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّـهَ بَالِغُ أَمْرِ‌هِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّـهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرً‌ا ﴿٣

Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri (bertawakal) sepenuhnya kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melaksanakan segala perkara yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (Surah At-Thalaq 65; Ayat 3).

.

Tawakal merupakan salah satu cara yang dikurniakan oleh Allah سبحانه وتعالى  kepada hamba2Nya dalam mereka mencari jalan dalam mencapai sesuatu. Tawakal ini adalah satu elemen yang penting dalam kehidupan seorang Muslim.

.

Allah سبحانه وتعالى menjanjikan nikmat yang tidak disangka2 bagi mereka yang bertawakal. Dari Umar bin Khaththab; Rasulullah ﷺ  bersabda : “Jika kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benarnya Tawakal, maka Allah memberikan rezeki kepadamu sebagaimana Allah memberikan rezeki kepada burung, pagi keluar sarang dalam keadaan lapar, dan petangnya pulang ke sarang dalam keadaan kenyang.” (Hadis riwayat At Tarmizi, Ahmad, Ibnu Majah r.a.)

.

.

Berusaha

 .

Sesuatu usaha tidak bernilai di sisi Allah سبحانه وتعالى  jika kita hanya mengharapkan usaha tanpa meletakkan Allah sebagai yang Maha Menentukan. Jangan sekali2 meletakkan usaha kita menjadi neraca keberhasilan kerana itu seolah2 kita mengiktiraf diri bagaikan berkuasa dan tidak perlu mengharap pada Ilahi. Andai inilah yang dilakukan, secara sendirinya kita menghitamkan hati dengan sifat riya’ dan takabbur. Sedangkan sesuatu hasil dan kejayaan itu adalah ketentuanNya, nikmatnya untuk memberikan menurut pertimbanganNya. Mungkin terjadi, mungkin tidak.

.

Di dalam kita menghadapi cabaran, Allah سبحانه وتعالى telah menyuruh kita untuk berserah kepadaNya. Namun ini bukanlah bermakna kita tidak perlu melakukan apa2 dalam mencapai sesuatu itu. Jika hendak mencapai sesuatu, keinginan dan cita2, ia hanya akan tinggal impian dan menjadi angan2 kosong yang tidak bernilai kalau tidak disertakan sekali dengan usaha. Kejayaan dan rezeki tidak datang bergolek kalau tiada ikhtiar mencari dan berusaha.

.

Allah سبحانه وتعالى berfirman:

وَعَلَى اللَّـهِ فَتَوَكَّلُوا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

“Dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah (tawakallah), jika kamu betul-betul beriman.” (Surah al-Maidah ayat 23).

.

.

Salah Faham

 .

Ramai umat Islam kini tersalah faham tentang konsep tawakal, ada yang bertawakal sebelum berusaha dan ada juga yang bertawakal tanpa usaha dahulu. Mereka enggan berusaha dan bekerja, tetapi hanya menunggu. Orang seperti ini berfikiran, mereka tidak perlu belajar, jika Allah menghendaki pandai tentu mereka menjadi orang pandai. Atau tidak perlu bekerja, jika Allah menghendaki menjadi orang kaya tentulah kaya, dan seterusnya.

Ia sama sahaja dengan seorang yang sedang lapar perutnya, sekalipun ada pelbagai makanan, tetapi ia berfikir bahawa jika Allah menghendaki ia kenyang, tentulah kenyang. Jika pendapat ini dipegang teguh pasti akan mengembirakan hati mereka sendiri.

.

Menurut ajaran Islam, Tawakal itu adalah tumpuan terakhir dalam suatu usaha atau perjuangan. Tawakal yang sebenarnya menyerah diri kepada Allah سبحانه و تعالى  setelah berusaha keras dalam berikhtiar dan bekerja sesuai dengan kemampuan dalam mengikuti sunnah Allah yang telah ditetapkan.

 .

Misalnya, seorang pelajar hanya berdoa dan bertawakal sahaja kepada Allah supaya ia lulus dalam peperiksaannya tanpa berusaha. Ini pasti tidak akan lulus dalam peperiksaan. Ataupun seseorang meletakkan kenderaan tanpa berkunci dan kuncinya pula ditinggalkan pada suisnya kemudian bertawakal kepada Allah سبحانه و تعالى  . Patutkah mereka yang ambil mudah dan lalai sebegini menyalahkan Allah Ta’ala dengan mengatakan Allah tiada kuasa, Allah tak dengar tawakalnya dan sebagainya. Inilah yang dikatakan umat Islam yang jahil tiada ilmu dalam mengerjakan sesuatu.

 .

Pada zaman Rasulullah ﷺ  ada seorang sahabat yang meninggalkan untanya tanpa diikat lebih dahulu. Ketika ditanya, mengapa tidak diikat, ia menjawab, “Saya telah benar-benar bertawakal kepada Allah.” Nabi ﷺ  yang tidak membenarkan jawapan tersebut lalu berkata, “Ikatlah dan setelah itu bolehlah engkau bertawakal.”

.

.

Tiada Putus Asa

 .

Berlaku juga kepada orang yang berusaha, berdoa dan bertawakal dalam usahanya itu, tetapi tetap tidak berjaya dan Allah tidak memberikan kejayaan kepadanya. Hal ini perlu kita cermin dahulu diri kita, adakah usaha kita mencukupi atau kita abaikan ibadah-ibadah wajib, sering melakukan dosa atau sebagainya. Sebab itulah tawakal kita perlu bersama dengan sifat redha dan sabar dengan apa yang akan diberikan oleh Allah. Orang yang bersabar itu adalah orang yang mempunyai iman dan keyakinan akan kekuasaan Allah. Sabda Rasulullah ﷺ : “Bersabar itu separuh daripada iman”.

.

Apabila kita bertawakal, hati akan menjadi lebih tenang kerana kita yakin Allah سبحانه وتعالى telah menentukan sesuatu pencapaian dan rezeki untuk setiap dari kita yang masing-masing ada bahagiannya sendiri. Sekiranya kita menyakini sesuatu kejayaan dan rezeki itu telah ditentukan untuk setiap makhluknya, maka tidak perlu kita risau, takut dan kecewa jika orang lain mendapatnya pula.

.

Firman Allah dalam al-Quran:

وَكَانَ حَقًّا عَلَيْنَا نَصْرُ‌ الْمُؤْمِنِينَ

“Dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.” (Surah Ar-Rum ayat 47)

.

Tanpa tawakal dan penyerahan sebenarnya, kita akan terdedah kepada kekecewaan dan patah hati kerana kita bukan Tuhan yang boleh menentukan apa yang diingini mesti dan pasti tercapai. Dengan tawakal juga kita akan sentiasa ceria dalam hidup walaupun kita mungkin tidak mencapai atau selalu gagal mendapatkan apa yang kita ingini dan jangkakan.

 .

Seseorang Muslim tidak akan mudah putus asa andainya menemui kesukaran dalam kehidupan, malah menganggapkannya sebagai suatu proses dalam mencari keredhaan Allah سبحانه وتعالى. Seterusnya akan melahirkan rasa syukur jika usahanya berjaya dan menerima dengan penuh sabar andainya usahanya itu menemui kegagalan.

.

Muslim yang hidupnya penuh dengan Tawakal kepada Allahسبحانه وتعالى, tahu dan yakin bahawa itulah pencapaian dan rezeki yang ditetapkan untuknya yang datang bukan sebagai ganjaran atau balasan kepada dia, namun sekadar ujian untuk menguji secebis iman di dada. Ini kerana dia yakin, segala apa yang dilakukan di dunia adalah kerana untuk memetik ganjarannya di syurga nanti.

.

Allah سبحانه وتعالى berfirman:

وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّـهُ الدَّارَ‌ الْآخِرَ‌ةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِن كَمَا أَحْسَنَ اللَّـهُ إِلَيْكَ ۖ

“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik, kepadamu.” (Surah Al-Qisas; ayat 77)

.

Kita hanyalah penyemai benih keimanan dan diindahkan dengan Tawakal kerana Tawakal itu satu daripada pembuktian iman yang meyakini Allah lah segalanya. Apa yang dinantikan bukan hasil dan ganjaran di muka bumi, tetapi adalah ganjaran abadi syurga firdausi. Dan kerana itulah orang yang benar2 bertawakal, dia tidak akan takut untuk berusaha kerana tahu rezekinya datang dengan tidak disangka-sangka. Dia akan terus berusaha untuk masa depannya, terus berusaha untuk mengatasi masalah yang dihadapinya disamping berusaha mengelak musibah kepada dirinya kerana dia yakin setiap usaha yang dilakukannya hanyalah wasilah yang akan membenarkan dia untuk menggapai cinta Ilahi di jannah Ilahi.

.

.

Penutup

.

Tawakal adalah menyerahkan diri kepada Allah سبحانه وتعالى  untuk menguruskan segala urusan kita setelah habis berusaha dan berikhitiar. Tawakal yang paling tepat adalah ikhtiar yang semaksimum mungkin disertai keyakinan bahawa Allah سبحانه وتعالى adalah penentu segalanya. Sesuatu Tawakal dan keyakinan yang kuat tanpa ikhtiar yang mengiringinya maka tidaklah sempurna. Setinggi mana pun ikhtiar akan sia2 juga tanpa Tawakal dan penyerahan kepadaNya.

.

Tawakal datang bersama dengan redha kerana kadang2 apa yang dirancang tidak selari dengan rancangan Allah سبحانه وتعالى  . Apabila ikhlas dan redha menerima apa yang berlaku dengan rendah hati dan sedar akan kebijaksanaan Allah سبحانه وتعالى  dan keluasan ilmu Allah yang mengetahui apa yang terbaik bagi kita, barulah betul proses Tawakal tersebut.

.

Sebagai umat Islam yang taat kepada Allah سبحانه وتعالى  , selain dari berusaha dengan kekuatan, tenaga dan ilmu yang dikurniakan oleh Allah, selarikanlah dengan berdoa, bertawakal dan penyerahan yang sebenar2nyakepada Allah سبحانه وتعالى  agar dipermudahkan dan diberikan kejayaan atau keberhasilan atas segala yang diusahakan.

Sabda Rasulullah ﷺ : “Sesiapa yang berusaha dia akan berjaya.”

.

Semoga kita dapat terus ikhlas berusaha, berikhtiar dan bersungguh berdoa serta bertawakal dengan sebenar2 penyerahan diri untuk Allah سبحانه وتعالى  semata2.

.

Allah سبحانه و تعالى  berfirman:

رَّ‌بَّنَا عَلَيْكَ تَوَكَّلْنَا وَإِلَيْكَ أَنَبْنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ‌ ﴿٤

“Wahai Tuhan kami! Hanya kepada Dikaulah kami bertawakal (berserah diri) dan hanya kepada Dikaulah kami bertaubat dan hanya kepada Dikaulah kami kembali.” (Surah Al-Mumtahina 60; Ayat 4)

.

.

والله أعلم بالصواب

Wallahu A’lam Bish Shawab

 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Petikan oleh; shafiqolbu
sign s2

.

 

Advertisements

One response to this post.

  1. […] Ibrahim mengambil sebatang tongkat lalu menuju ke Mekah tanpa sebarang bekal dan kenderaan. Hanya tawakal kepada Allah سبحانه وتعالى sahajalah bekal […]

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: