KJ : Menangani Konsep Kebebasan

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

jumaat1.

Khutbah Jumaat: Menangani Konsep Kebebasan

 

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِل:

kj kebebasan.

Muslimin yang diRahmati Allah,

 

Dikesempatan berada pada hari Jumaat dan di atas masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “MENANGANI KONSEP KEBEBASAN”.

.

.

Muslimin Yang diRahmati Allah,

 

Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan telah termaktub di dalam perkara 3  (1) Perlembagaan Persekutuan. Justeru, Perlembagaan digubal untuk menjadi dasar undang-undang yang perlu dipatuhi oleh kita dalam mengamalkan perkara makruf dan mencegah yang munkar selagi tidak bertentangan dengan Syarak. Secara ringkasnya istilah makruf bererti segala nilai luhur dan sifat baik sebaliknya mungkar segala macam dosa dan kejahatan yang selalunya dikatakan dari naluri manusia sebagai jahat. Oleh hal demikian, kebebasan dalam Islam adalah dibenarkan selagi ianya berada dalam skop dan kerangka syariah dan Hak Asasi Manusia yang bercanggah dengan ajaran Islam adalah tertolak sama sekali.

.

Ini bermakna ajaran Islam menjamin seseorang itu hidup dengan bebas dan tenteram asalkan tingkahlakunya bertujuan untuk mewujudkan masyarakat yang adil yang mengakui kekuasaan Allah serta patuh kepada-Nya. Ingatlah, syariat Islam yang ditetapkan oleh Allah SWT ke atas hamba-hambaNya mempunyai pelbagai hikmah dan kebaikan untuk manusia sejagat. Ianya umpama pagar untuk menjaga tanaman yang disemai yang mulai mengalami proses tumbesaran. Maka apabila pagar itu rosak dan diabaikan maka sudah pasti pelbagai makhluk perosak akan memusnahkan tanaman itu. Maka, syariat Islam merupakan undang-undang dan peraturan yang terbukti mampu menyelamatkan dan memberi kebaikan yang sangat banyak untuk kehidupan di dunia serta di akhirat. 

 

Firman Allah SWT di dalam surah Ali Imran ayat 108:

تِلْكَ ءَايَٰتُ ٱللَّهِ نَتْلُوهَا عَلَيْكَ بِٱلْحَقِّ ۗ وَمَا ٱللَّهُ يُرِيدُ ظُلْمًۭا لِّلْعَٰلَمِينَ

Yang bermaksud:  “Itulah ayat-ayat keterangan Allah, kami bacakan dia kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar. Dan (ingatlah) Allah tidak berkehendak melakukan kezaliman kepada sekelian makhluk.”

.

Lihatlah, di akhir- akhir ini kita dapati berbagai usaha terancang sedang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu, atas nama Hak Asasi Manusia. Ianya telah menggugat dan mencabar prinsip-prinsip kebebasan yang dibenarkan oleh agama Islam itu sendiri. Ia bukan sahaja digerakkan oleh kelompok-kelompok tertentu dalam negara dengan kemudahan dan sokongan media baru, malah gerakan ini juga mendapat sokongan kelompok liberal antarabangsa. Bayangkan, gerakan untuk mencabar keutuhan kesusilaan ajaran Islam ini dapat kita lihat dengan jelas menerusi penganjuran  perhimpunan–perhimpunan yang mempromosikan budaya kebebasan melampau oleh kumpulan-kumpulan yang bertopengkan perjuangan Hak Asasi Manusia (HAM) yang kononnya anti-diskriminasi antaranya ialah penganjuran perhimpunan Seksualiti Merdeka dan sebagainya.

.

Mimbar yang mulia ini ingin mengingatkan sidang jumaat dan umat Islam sekalian bahawa pada 24 Oktober 2013 ini, sekali lagi negara kita berada pada sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR)  di Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva, Switzerland. Berdasarkan kepada maklumat yang diterima bahawa terdapat beberapa laporan yang dihantar secara berasingan kepada Majlis tersebut oleh gabungan lebih 54 NGO dari negara ini atas nama COMANGO (Gabungan NGO Malaysia di dalam proses UPR) yang ternyata jelas akan menggugat kedaulatan Islam di negara ini.

.

Di antaranya ialah tuntutan hak kebebasan beragama, pengiktirafan terhadap golongan Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender, Intersex, Queerperson (LGBTIQ), mempertikaikan peruntukan tertentu dalam Undang-Undang Keluarga Islam yang didakwa mendiskriminasikan wanita Islam, dakwaan diskriminasi terhadap pengikut syiah, bantahan pengharaman bahan-bahan penerbitan yang menyalahi Hukum Syarak dan lain-lain. Persoalannya timbul di sini apakah tujuan gabungan NGO tersebut membuat pelbagai aduan dan tuntutan sedemikian di Majlis Hak Asasi Manusia, Geneva? Sedangkan Malaysia adalah sebuah negara merdeka yang mengamalkan prinsip demokrasi yang berteraskan kepada kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.

.

.

Muslimin Yang diRahmati Allah,

 

Berdasarkan kepada penelitian, mimbar percaya bahawa tindak balas serta tingkah laku kumpulan yang memperjuangkan tuntutan ini bakal dijadikan landasan kepada NGO-NGO Hak Asasi Manusia  tempatan bagi mengambil kesempatan untuk terus mengelirukan dan boleh mendatangkan kehancuran terhadap keharmonian masyarakat dan menggugat kedudukan istimewa agama Islam seperti dalam Perlembagaan negara ini.  Hal ini mungkin terjadi melalui tekanan yang dikenakan terhadap negara kita untuk tunduk dengan berselindung di sebalik apa yang didakwa sebagai hak asasi manusia bagi membenarkan amalan kebebasan secara mutlak. Ini secara langsung bertentangan dengan prinsip serta ajaran Islam, nilai tradisi masyarakat negara ini, dan semangat Perlembagaan Persekutuan.

.

Keadaan ini juga makin meruncing dan memberi ancaman besar pada kesucian agama bila desakan ini juga didalangi oleh beberapa pihak yang berkepentingan serta  berniat jahat untuk menghancurkan agama dan umat Islam dan berselindung di sebalik NGO.

 

Dalam isu ini, mimbar ingin menyatakan bahawa, Hakim Yang Arif Dato’ Eusoffe Abdoolcader dalam kes Universiti Merdeka lawan Kerajaan Malaysia memutuskan bahawa kedaulatan undangundang negara mengatasi pengistiharan antarabangsa. Dalam kes yang lain, Mahkamah memutuskan bahawa pengistiharan Hak Asasi Manusia yang dibuat di PBB bukanlah berbentuk perjanjian, dan tidak boleh mengatasi kedaulatan sesebuah negara.

.

Mimbar ingin menegaskan bahawa penjelasan-penjelasan konkrit dibuat disamping bantahan-bantahan yang tegas berpaksikan kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan yang menjadi tunjang kepada kedaulatan negara. Manakala bagi umat Islam, kita bertanggungjawab menzahirkan bantahan sekeras-kerasnya terhadap perkara tersebut kerana ianya melibatkan identiti dan maruah umat Islam itu sendiri. Justeru bagi menyelamatkan agama dan ummah dari terus musnah akibat impak amalan-amalan bertentangan dengan aqidah dan syariah, mimbar menyeru kepada semua pihak agar menolak segala tuntutan ini, jangan kita terlibat dengan budaya kebebasan yang boleh melemahkan ummah dan menyesatkan.

.

Inilah masanya, mimbar menyeru seluruh umat Islam bersatu hati menolak segala isu dan perkara yang menyalahi aqidah serta syariat yang secara halus ditiupkan oleh musuh-musuh Islam atau umat Islam yang telah diperkudakan oleh musuh Islam. Gunakanlah pelbagai saluran media dan gerakkanlah dakwah secara individu mahupun berkumpulan demi untuk mempertahankan agama dan negara tercinta.

 

Bangunlah wahai umat Muhammad dengan penuh keberanian!..Bersatulah dengan hati yang ikhlas dan berpeganglah kepada aqidah dan syariat Islam yang sebenar. Percayalah bahawa amalan cara hidup yang bertentangan normal manusia adalah sebenarnya bertentangan dengan undang-undang dan hukum agama dan moral di negara kita.

.

Dalam Islam amalan tersebut  adalah diharamkan sama sekali dan termasuk dalam golongan dosa-dosa besar. Kita yakin bahawa Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu adalah bersifat rasional dan mereka tidak akan mudah terpengaruh dengan segala laporan negatif pihak NGO terhadap kerajaan Malaysia yang didakwa mengamalkan diskriminasi kerana segala bentuk keadilan kepada rakyat dalam negara ini telahpun termaktub dalam Perlembagaan dengan luasnya.

.

Persoalan besar sekali lagi timbul ialah apakah yang menyebabkan gejala negatif seumpama ini terus berlaku? Mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa inilah propaganda fahaman pluralisma agama yang semakin hari makin berkembang berlaku di negara ini. Justeru, sekiranya kualiti keimanan umat Islam semakin lemah sudah tentu kita tidak dapat menegakkan prinsip-prinsip asas agama yang menjadi tunjang kehidupan seseorang muslim. Kita juga jangan lupa bahawa syaitan dan sekutunya telah berjanji kepada Allah SWT untuk terus menyesatkan orang yang beriman. 

 

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa ayat 119:

وَلَأُضِلَّنَّهُمْ وَلَأُمَنِّيَنَّهُمْ وَلَءَامُرَنَّهُمْ فَلَيُبَتِّكُنَّ ءَاذَانَ ٱلْأَنْعَٰمِ وَلَءَامُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ ٱللَّهِ ۚ وَمَن يَتَّخِذِ ٱلشَّيْطَٰنَ وَلِيًّۭا مِّن دُونِ ٱللَّهِ فَقَدْ خَسِرَ خُسْرَانًۭا مُّبِينًۭا

Maksudnya: “Dan sungguh, aku akan menyesatkan mereka, dan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan menyuruh mereka membelah telinga binatang ternak; dan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang dita’ati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata”.

.

.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

 

Ingatlah bahawa dalam Islam, setiap insan tidak memiliki kebebasan mutlak,  bahkan setiap tindak-tanduknya dibimbing oleh prinsip dan peraturan yang telah ditetapkan oleh syarak yang bersumberkan wahyu daripada Allah SWT. Hak yang digariskan dan dijamin oleh agama Islam sudah pastinya tidak sama sekali bertentangan dengan hak-hak Allah yang menjamin kepentingan dan kemaslahatan umum.

 

Meneliti maksudnya yang terkandung dalam ajaran Islam, jelas menunjukkan bahawa sesuatu yang diperjuangkan sebagai ”hak” mestilah sesuatu yang tidak sama sekali bertentangan dengan kebenaran, keadilan, kewajaran, dan kesesuaian dengan fitrah insan. Percayalah, jika kita hidup mengikut syariat, maka secara automatiknya kita hidup di jalan yang benar untuk mendapat keredhaan Allah. Yakinilah Islam adalah agama fitrah dan The Way Of Life yang diturunkan oleh Allah Yang Maha Sempurna dan Maha Bijaksana.

.

Justeru, di tangan kitalah letaknya tanggungjawab dan kuasa bagi menghentikan kekacauan dan kehancuran yang akan diakibatkan oleh gerakan yang memperjuangkan amalan yang bertentangan dengan agama ini. Hal ini kerana salah satu prinsip penting yang mesti dilaksanakan oleh khususnya umat Islam bagi memastikan kedaulatan agama kekal terpelihara ialah dengan menyeru kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran.

 

Allah SWT berfirman di dalam surah al-Hajj ayat 41:

ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ أَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُوا۟ بِٱلْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا۟ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلْأُمُورِ

Yang bermaksud, “Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan perkara yang mungkar. Dan ingatlah bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”

.

Mimbar juga menggesa kepada pihak berkuasa agar kumpulan-kumpulan yang sengaja mengada-adakan cerita dengan tujuan jahat bagi menjatuhkan imej negara di mata dunia ditangani secara berkesan.  Hal ini termasuklah dengan mengambil tindakan undang-undang secara serius sekiranya mereka melakukan kesalahan yang bertentangan dengan mana-mana undang-undang bertulis yang sedang berkuatkuasa di negara kita. Ini termasuklah jika mereka mendapatkan pembiayaan pihak luar bagi mencemar nama baik dan kedaulatan negara. Sebarang usaha mencemar dan menghina agama Islam sebagai agama negara mesti dihentikan bagi menjamin kelangsungan kehidupan harmoni rakyat negara ini sebagaimana yang telah kita persetujui bersama semasa mula terbentuknya negara ini dan Perlembagaannya.

.

Mimbar hari ini ingin mengajak seluruh umat Islam di negara ini untuk sama-sama memanjatkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT  diatas kemenangan perbicaraan isu kalimah Allah yang berpihak kepada umat Islam.  Sesungguhnya kalimah Allah itu adalah nama Tuhan khusus  bagi orang Islam seperti dalam Al-Quran. Mimbar juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua umat Islam diatas segala usaha yang tidak putus putus baik secara individu ataupun berjemaah dalam mengadakan solat hajat dan berdoa. Semoga dengan keputusan dan kemenangan ini akan bertambah mantap lagi keimanan dan keyakinan kita kepada Allah SWT.

 

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah Ali- Imran ayat 160:

إِن يَنصُرْكُمُ ٱللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِن يَخْذُلْكُمْ فَمَن ذَا ٱلَّذِى يَنصُرُكُم مِّنۢ بَعْدِهِۦ ۗ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ ٱلْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Jika Allah menolong kamu maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri.”

.

بَارَكَ اَللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اَللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

.

.

 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Menangani Konsep Kebebasan”                                                              

(18 Oktober 2013 / 13 Zulhijjah 1434H)

 

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

Posted by; shafiqolbu

.

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: