Hikmah Peristiwa Perubahan Arah Kiblat

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Penukaran Arah Kiblat Dari Masjidil Al-Aqsa Ke Masjidil Haram.

Peristiwa penting dan bersejarah yang berlaku kepada jujungan besar Nabi Muhammad ﷺ serta umat Islam pada Syaaban ialah peristiwa perubahan arah kiblat dari Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis ke Masjidil Haram (Kaabah) di Makkah al-Mukaramah.

 

Kisah perubahan kiblat berlaku pada tahun kedua Hijrah. Rasulullah ﷺ menunaikan solat menghadap ke Baitulmaqdis selama kira-kira 17 bulan, tetapi Baginda ﷺ ingin menghadap ke arah Kaabah sebagai kiblatnya.

Selepas diperintahkan Allah سبحانه وتعالى untuk berpaling ke Kaabah, solat pertama dilakukan Baginda ﷺ ialah solat Asar yang diikuti beberapa orang sahabat. Sesudah itu, seorang sahabat keluar dari masjid dan melihat dalam masjid lain jemaah sedang rukuk dan masih menghadap ke arah Baitulmaqdis.

Maka dia berseru: “Demi Allah! Aku bersaksi bahawa aku bersolat bersama Nabi Muhammad menghadap ke Kaabah di Makkah. Kemudian orang yang bersolat itu terus berpusing menghadap ke Kaabah dalam solat itu juga.” (Hadis riwayat Bukhari)

Ibnu Sa’ad dalam kitab al-Tabaqat ada meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ sedang melawat Ummu Bisyr bin al-Barra’ bin Mabrur di kawasan Bani Salamah. Beliau menyediakan jamuan untuk Rasulullah ﷺ dan sahabatnya.

Apabila tiba waktu Zuhur, Baginda bersolat di masjid perkampungan itu. Ketika Baginda ﷺ berada dalam rakaat yang kedua solatnya, turun wahyu daripada Allah سبحانه وتعالى memerintahkannya supaya menukar arah dari Masjidil Aqsa ke arah Kaabah di Masjidil Haram.

Baginda ﷺ terus berpaling menghadap ke arah Kaabah ke sudut bertentangan dengan mizab (saluran emas) dengan pusingan 180 darjah dan terus menyambung baki solatnya. Masjid itu dinamakan Masjid Qiblatain yang masih ada di Madinah sebagai salah satu tempat lawatan jemaah yang mengerjakan umrah mahu pun haji di sana.

.

Imam Bukhari juga ada meriwayatkan daripada Abdullah ibnu Umar ketika orang bersolat Subuh di masjid Quba’, tiba-tiba datang berita mengatakan Rasulullah ﷺ diarahkan supaya menghadap ke Kaabah, maka mereka pun berpaling ke arah itu.

Mengenai perbezaan riwayat berkenaan perubahan kiblat, al-Hafiz Ibnu Hajar ada menjelaskan bahawa solat pertama menghadap Kaabah ialah solat di Bani Salamah di masjid Qiblatain iaitu solat Zuhur. Solat pertama menghadap kiblat di Masjid Nabawi pula ialah solat Asar. Solat Subuh pula ialah di Masjid Quba.

Selepas berlaku perubahan kiblat, orang munafik dan kaum Yahudi meragui kejadian itu lalu bertanya: “Apakah yang menyebabkan mereka berpaling dari kiblat yang mereka hadapi selama ini?”

Sebagai jawapan kepada pertanyaan yang sengaja dilontarkan oleh kaum Yahudi sebagai bahan ejekan dan sindiran serta untuk mengelirukan kaum Muslimin, Allah سبحانه وتعالى berfirman :

سَيَقُولُ ٱلسُّفَهَآءُ مِنَ ٱلنَّاسِ مَا وَلَّىٰهُمْ عَن قِبْلَتِهِمُ ٱلَّتِى كَانُوا۟ عَلَيْهَا ۚ قُل لِّلَّهِ ٱلْمَشْرِقُ وَٱلْمَغْرِبُ ۚ يَهْدِى مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٍۢ مُّسْتَقِيمٍۢ

“Orang-orang yang bodoh akan berkata: “Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblat mereka (Baitulmaqdis) yang dahulunya mereka telah berkiblat kepadanya?” Katakanlah: “Kepunyaan Allah timur dan barat, Dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.” (Surah al-Baqarah, ayat 142)

.

Perubahan arah kiblat adalah satu tamparan cukup hebat kepada kaum Yahudi yang selama ini berbangga dengan kiblat mereka iaitu Baitulmaqdis hingga mencemuh dan mengejek umat Islam kerana terpaksa bergantung dan mengikut walaupun dalam menentukan arah solat pada ketika itu.

Malah, kewajipan bersolat menghadap kiblat adalah satu perintah dan ketetapan daripada Allah سبحانه وتعالى dan sesiapa saja tidak boleh mempersoalkan mengapa perlu menghadap Kaabah apabila melakukan solat.

Inilah sebenarnya konsep ketaatan, kepatuhan mutlak hanya kepada Allah سبحانه وتعالى saja dalam apa juga keadaan dan tidak boleh disamakan dengan ketaatan kepada makhluk.

.

Berkaitan Kaabah, Rasulullah ﷺ bersabda: “Kaabah itu kiblat bagi orang yang di dalam masjid, dan masjid itu bagi orang yang di Tanah Haram (Makkah), dan Haram (Makkah) itu kiblat bagi penduduk bumi dari barat hingga ke timur daripada umatku.” (Hadis riwayat Al-Qurthubi)

Kemuncak peristiwa itu ialah ia melambangkan kebenaran daripada Allah سبحانه وتعالى untuk kembali berkiblatkan Kaabah, sekali gus ia adalah contoh doa Rasulullah ﷺ yang dikabulkan Allah سبحانه وتعالى. Ia kerana Rasulullah ﷺ sudah lama mengangkat tangannya berdoa dan memandang ke langit meminta pertukaran kiblat ke Kaabah. Permintaan Rasulullah ﷺ diperkenankan oleh Allah سبحانه وتعالى pada pertengahan bulan Syaaban.

Seterusnya, sebahagian kaum Muslimin berkata: “Kami ingin mengetahui mengenai orang yang meninggal dunia sebelum pemindahan kiblat (dari Baitulmaqdis ke Kaabah). Bagaimana juga dengan ibadat solat kami sebelum ini ketika kami masih menghadap ke arah Baitulmaqdis.”

Maka turunlah ayat 143 surah al-Baqarah yang menegaskan bahawa Allah سبحانه وتعالى tidak akan mensia-siakan iman mereka yang beribadah menurut ketentuan ketika itu.

Firman Allah سبحانه وتعالى:

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًاۗ وَمَا جَعَلْنَا الْقِبْلَةَ الَّتِي كُنتَ عَلَيْهَا إِلَّا لِنَعْلَمَ مَن يَتَّبِعُ الرَّسُولَ مِمَّن يَنقَلِبُ عَلَىٰ عَقِبَيْهِۚ وَإِن كَانَتْ لَكَبِيرَةً إِلَّا عَلَى الَّذِينَ هَدَى اللَّـهُۗ وَمَا كَانَ اللَّـهُ لِيُضِيعَ إِيمَانَكُمْۚ إِنَّ اللَّـهَ بِالنَّاسِ لَرَءُوفٌ رَّحِيمٌ ﴿١٤٣﴾

“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) juga akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) Dan tidaklah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk Kami mengetahui tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul (serta membenarkannya) dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya). Dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman).” (Surah al-Baqarah, ayat 143)

.

Mafhumnya ayat suci di atas menegaskan kedudukan umat Islam sebagai umat pilihan dan pertengahan serta akan menjadi saksi pada hari akhirat kepada umat sebelum ini. Umat pilihan atau pertengahan itu bermaksud tidak hanya mementingkan kerohanian dan kebendaan semata-mata, tetapi wasatiyyah (berada di tengah-tengah).

Saksama dalam mementingkan dunia dan akhirat, kerohanian dan kebendaan, perseorangan dan masyarakat. Pertimbangan dan pengetahuannya mengenai baik atau buruk sesuatu perkara itu adalah adil, benar dan sah. Umat yang sedemikian, lebih layak memberi keterangan kepada orang lain.

Demikianlah hikmah dan pengajaran yang tersurat dan tersirat di sebalik peristiwa perubahan kiblat yang menjadi satu kewajipan yang perlu ditaati oleh setiap Muslim ketika menunaikan ibadat solat lima waktu ke arah Kaabah kerana kewajipan solat menghadap ke Kaabah menunjukkan konsep kepatuhan mutlak seorang muslim.

Di samping itu, ia membuktikan kepentingan Baitulmaqdis di sisi Islam yang sepatutnya dikembalikan di bawah ketuanan umat Islam di Palestin. Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa adalah tiga simbol syiar Islam di bumi Allah سبحانه وتعالى ini.

.

.

والله أعلم بالصواب

Wallahu A’lam Bish Shawab

(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

~ shafiqolbu ~

.

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: