Kisah Abdullah Ibnu Ummi Maktum Yang Buta Tapi Celik Mata Hatinya

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

abdullah-bin-ummi-maktum-ra..

Kisah Abdullah Ibnu Ummi Maktum yang buta tapi celik mata hatinya.| Abdullah Ibn Ummi Maktum yang nama sebenarnya adalah Abdullah ibnu Umar ibnu Syuraikh, seorang sahabat suku Quraisy yang juga sepupu kepada isteri Rasululah ﷺ, Ummul Mu’minin Khadijah binti Khuwailid ra.. Bapanya Qais bin Zaid, dan ibunya bernama ‘Atikah binti Abdullah. Ibunya bergelar ‘Umi Maktum’ kerana anaknya (Abdullah Ibnu Ummi Maktum) lahir dalam keadaan buta matanya.

.

Pada awal sejarah permulaan Islam di Makkah, Ibnu Ummi Maktum memperoleh hidayah untuk turut sama menyertai orang-orang yang telah menganut Islam. Ketika itu beliau masih muda belia, dan qolbunya benar-benar merasai kemanisan iman yang sebenar.

Apabila meningkat ke usia dewasa, beliau berasakan bahawa ajaran Islam telah menjadikan hatinya bersih. Walaupun matanya buta, namun beliau tidak pernah kecewa dengan perkara itu kecuali dirasakan sebagai nikmat besar yang dikurniakan oleh Allah سبحانه وتعالى kepada dirinya. Di mana dengan sebab itu Allah سبحانه وتعالى memberinya kemampuan melihat ajaran kebenaran dengan pancaran mata hatinya. Dengan itu, beliau dapat memahami makna yang hakiki daripada firman Allah سبحانه وتعالى.

أَفَلَمْ يَسِيرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ فَتَكُونَ لَهُمْ قُلُوبٌ يَعْقِلُونَ بِهَآ أَوْ ءَاذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَاۖ فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى ٱلْأَبْصَـٰرُ وَلَـٰكِن تَعْمَى ٱلْقُلُوبُ ٱلَّتِى فِى ٱلصُّدُورِ ﴿٤٦﴾

“Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka melakukan perjalanan di muka bumi, sehingga mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami, dan ada telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) Sesungguhnya, bukanlah matanya yang buta, tetapi yang buta ialah hatinya, yang ada di dalam dada.” [QS Al Hajj / 22: 46]

.

Kemudian, timbul keyakinan di dalam hati Ibnu Ummi Maktum bahawa Allah سبحانه وتعالى memberikannya keistimewaan iaitu kelebihan yang diberikan juga kepada orang-orang buta seperti beliau atas manusia lain. Allah سبحانه وتعالى akan membalas mereka dengan pahala syurga selepas beliau mendengar hadis berikut:

Diriwayatkan oleh Anas bin Malik, “Sesungguhnya Jibril datang kepada Rasulullah , yang ketika itu Ibnu Ummi Maktum sedang bersama baginda.”

Rasulullah ﷺ lalu bertanya, “Sejak bilakah pandanganmu buta?”

Jawabnya, “Sejak aku kecil.”

Rasulullah ﷺ berkata, “Firman Allah سبحانه وتعالى: “Jika aku mengambil suatu kemuliaan seorang hamba, nescaya AKU tidak akan memberi dia pengganti selain pahala syurga …”

.

.

Kumpulan Pertama Memeluk Islam

.

Abdullah Ibnu Ummi Maktum termasuk kumpulan yang pertama memeluk Islam. Beliau merasai segala jenis suka duka kaum muslimin di Makkah ketika itu. Beliau turut menderita akibat seksaan kaum Quraisy, berupa penganiayaan dan pelbagai macam tindakan kekerasan seperti dialami para sahabat Muslim yang lain.

Namun Abdullah Ibnu Ummi Maktum tidak pernah goyah dan melemahkan keimanannya. Malah beliau semakin teguh berpegang pada ajaran Islam dan Kitabullah. Beliau semakin rajin mempelajari syariat Islam dan sering menghadiri majlis Rasulullah ﷺ. Setiap waktu terluang sentiasa disinya dengan beramal dan setiap kesempatan sering digunakan untuk menambah ilmu tentang Islam.

.

.

Rasulullah SAW Memuliakan Abdullah Ibnu Ummi Maktum

.

Di zaman permulaan tersebut, Rasulullah ﷺ kerap mengadakan dialog dengan pemimpin-pemimpin Quraisy kerana mengharapkan mereka masuk Islam. Pada suatu hari baginda berhadapan dengan ‘Utbah bin Rabi’ah, Syaibah bin Rabi’ah,’ Amr bin Hisyam (Abu Jahal), Umayyah bin Khalaf dan Al Walid bin Mughirah (ayah Saiyidina Khalid bin Al Walid). Rasulullah ﷺ berunding dan bertukar fikiran dengan mereka tentang Islam. Baginda sangat teringin agar mereka semua menerima dakwah dan menghentikan penganiayaan terhadap para sahabat baginda. Ketika Rasulullah ﷺ sedang bersungguh-sungguh menyampaikan dakwah, tiba-tiba Abdullah Ibnu Ummi Maktum datang meminta dibacakan kepadanya ayat-ayat Al-Quran.

Kata Abdullah, “Ya, Rasulullah! Ajarkanlah kepadaku ayat-ayat yang telah diajarkan Allah kepadamu!”

Abdullah bukan tidak tahu dan melihat bahawa adanya tetamu besar bersama baginda Nabi tetapi jiwanya yang setiap hari merindui ayat-ayat al-Quran menjadikan raganya kehausan al-Quran dan ternanti-nanti ayat-ayat yang baru.

Rasulullah ﷺ mengelak dan tidak mempedulikan permintaan Abdullah kerana sangat sibuk bercakap malah berpaling lalu meneruskan pebicaraannya bersama para pemimpin Quraisy tersebut. Mudah-mudahan dengan Islamnya mereka, kedudukan Islam bertambah kuat dan syiar dakwah bertambah lancar. Selesai berbicara dengan mereka, Rasulullah ﷺ cuba hendak berlalu pulang, tetapi secara tiba-tiba penglihatan baginda gelap dan kepala baginda terasa sakit seperti terkena pukulan.

Lalu turunlah wahyu menegur baginda dengan firman-Nya:

surah abasa; 1-2 SQ

.

Sebahagian ayat daripada Surah ‘Abasa itulah yang disampaikan Jibril Al-Amin ke dalam hati Rasulullah ﷺ berhubung dengan peristiwa Abdullah Ibnu Ummi Maktum. Ikuti kisahnya di sini ~ Allah Menegur Perbuatan Rasulullah SAW.

.

Sejak hari itu Rasulullah ﷺ tidak lupa memberikan tempat yang mulia bagi Abdullah apabila dia datang. Baginda mepersilakannya duduk di tempat duduk baginda. Bertanyakan keadaannya dan baginda penuhi keperluannya. Tidaklah hairanlah jika baginda memuliakan Abdullah sedemikian rupa, kerana teguran terus dari Allah itu sangat tegas.

.

Bagi memuliakan Abdullah Ibnu Ummi Maktum, beberapa kali Rasulullah ﷺ memberi penghormatan dengan melantiknya sebagai ‘khalifah’ bagi menjalankan tugas Baginda di Madinah. Malah 17 kali jawatan tersebut diamanahkan kepada Abdullah Ibnu Ummi Maktum sewaktu Baginda Nabi mengetuai ekspedisi dan peperangan menentang musuh Islam. Salah satunya, ketika Rasulullah ﷺ meninggalkan kota Madinah untuk membebaskan kota Makkah dari kekuasaan kaum musyrikin Quraisy.

Ketika Rasulullah ﷺ meninggalkan Kota Madinah pergi menghadapi ke pelbagai medan peperangan, maka Madinah dan seisi penduduk menjadi amanah Abdullah Ibn Ummi Maktum. Abdullah Ibnu Ummi Maktum sering mewakili baginda di Madinah bagi mengimami solat jemaah di mihrab baginda. Beliau sering duduk di sebelah kiri mimbar dengan penuh khusyuk.

.

Oleh kerana itu juga, maka Ibnu Ummi Maktum mempunyai kedudukan tinggi di kalangan penduduk Madinah. Apalagi dia seorang sahabat yang paling banyak menghafal ayat al-Qur’an, sebagaimana juga banyaknya dihafal hadis-hadis Rasulullah ﷺ.

.

.

Beliau sampai di Madinah sebelum kedatangan Rasulullah .

 .

Ketika tekanan dan penganiayaan kaum Quraisy terhadap kaum muslimin semakin berat dan menjadi-jadi, Allah سبحانه وتعالى mengizinkan kaum muslimin dan RasulNya berhijrah. Abdullah Ibnu Ummi Maktum bergegas meninggalkan tanah tumpah darahnya untuk menyelamatkan agamanya. Beliau telah berhijrah sewaktu orang-orang lain masih berlindung di Makkah.

Abdullah Ibnu Ummi Maktum bersama-sama Mus’ab bin Umair meredah padang pasir menjadi golongan sahabat Rasulullah ﷺ yang pertama sekali berhijrah dan tiba di ‘Yatsrib’ (Madinah). Setibanya di Madinah, Abdullah dan Mus’ab segera berdakwah, membacakan ayat-ayat Al-Quran dan mengajarkan ilmu Islam.

Bayangkan seorang yang buta dan si Muda Mus’ab diberikan tanggungjawab yang amat besar oleh Rasulullah ﷺ. Beliau telah mengislamkan ramai penduduk Madinah sebelum Rasulullah ﷺ tiba. Tidak ada satu rumah pun yang tidak mendengar tentang Islam sebelum kedatangan Nabi. Dan inilah jasa dua manusia unggul ini iaitu Abdullah Ibn Ummi Maktum dan Mus’ab Ibn Umair.

.

.

Muazzin Bersama

 .

Apabila Rasulullah ﷺ tiba di Madinah, baginda mengangkat Abdullah bin Ummi Maktum dan Bilal bin Rabbah menjadi juru azan. Mereka berdua bertugas melaungkan kalimah tauhid lima kali sehari semalam bagi mengajak orang ramai menunaikan solat dan mengutamakan Tuhan dari segala kerja-kerja yang lain.

Abdullah ibn Ummi Maktum sangat gembira dan bahagia menjalankan tugas sebagai muazin. Abdullah Ibnu Ummi Maktum juga sentiasa berada di saf yang awal di hadapan dalam solat, sebaris dengan sahabat-sahabat lain yang mulia.

Dalam bulan Ramadhan, tugas mereka bertambah. Bilal bin Rabbah mengumandangkan azan untuk membangunkan kaum muslimin untuk bersahur sementara Abdullah azan ketika masuk waktu fajar, agar semua orang menghentikan makan minum dan segala yang membatalkan puasa dan menunaikan solat Subuh.

.

Dari Ibnu Umar radhiallahu ‘anhuma, katanya: “Rasulullah itu mempunyai dua orang juru azan, iaitu Bilal dan Ibnu Ummi Maktum. Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Bilal itu mengumandangkan azan di waktu masih malam (sebelum menyingsingnya fajar shadiq), maka makanlah dan minumlah kamu semua (untuk bersahur) sehingga Ibnu Ummi Maktum mengumandangkan azan (sebagai tanda kemasukan waktu Subuh).” Ibnu Umar radhiallahu ‘anhuma berkata: “Tidak ada jaraknya antara kedua orang juru azan itu, melainkan kalau yang ini (Bilal) turun lalu yang ini (Ibnu Ummi Maktum) naik.” (Muttafaq ‘alaih)

.

.

Doa Abdullah Ibnu Ummi Maktum Diperkenankan

.

Selepas perang Badar, Allah سبحانه وتعالى menurunkan ayat-ayat Al-Quran, mengangkat darjat kaum muslimin yang pergi berperang fi sabilillah. Allah سبحانه وتعالى melebihkan darjat mereka yang pergi berperang berbanding dengan mereka yang tidak pergi berperang, dan mencela orang yang tidak pergi perang kerana ingin bersantai-santai.

Ibnu Ummi Maktum merasa sangat sedih dan pilu hatinya tatkala turun wahyu kepada Rasulullah ﷺ yang berbunyi, “Tidaklah sama di antara orang mukmin yang duduk (yang tidak turut berperang).”

Ayat-ayat tersebut sangat memberi kesan di hati Abdullah Ibnu Ummi Maktum. Tetapi baginya sukar mendapatkan kemuliaan tersebut kerana beliau buta. Lalu beliau berkata kepada Rasulullah ﷺ, “Ya, Rasulullah! Seandainya aku tidak buta, tentu aku pergi berperang.”

Kemudian beliau bermohon kepada Allah سبحانه وتعالى dengan hati penuh tunduk, semoga Allah سبحانه وتعالى menurunkan pula ayat-ayat mengenai orang-orang yang keadaannya cacat (uzur) sepertinya, tetapi hati mereka ingin sekali hendak turut berperang. Beliau sentiasa berdoa dengan penuh kerendahan hati. Katanya, “Ya Allah! Turunkanlah wahyu mengenai orang-orang yang uzur sepertiku!”

Tidak berapa lama kemudian Allah سبحانه وتعالى memperkenankan doa Abdullah Ibnu Ummi Maktum.

.

Zaid bin Thabit, jurutulis Rasulullah ﷺ menceritakan, “Aku duduk di samping Rasulullah , tiba tiba baginda terdiam, sedangkan peha baginda terletak di atas pehaku. Aku belum pernah merasakan beban yang paling berat melebihi berat peha Rasulullah ketika itu. Sesudah beban berat yang menekan pehaku hilang, baginda bersabda, “Tulislah, hai Zaid!” Lalu aku menuliskan, “Tidak sama orang-orang mukmin yang duduk (tidak turut berperang) dengan pejuang-pejuang yang berjihad fi sabilillah … ..”

.

Ibnu Ummi berdiri seraya berkata, “Ya Rasulullah! Bagaimana dengan orang-orang yang tidak sanggup pergi berjihad (berperang kerana cacat)?” Selesai pertanyaan Abdullah, Rasulullah ﷺ berdiam dan peha baginda menekan pahaku, seolah-olah aku menanggung beban berat seperti tadi. Setelah beban berat itu hilang, Rasulullah ﷺ berkata, “Cuba baca kembali apa yang telah engkau tulis!” Aku membaca, “Tidak sama orang-orang mukmin yang duduk (tidak turut berperang).” Lalu kata baginda. Tulis! “Kecuali bagi orang-orang yang tidak mampu.”

Maka turunlah pengecualian yang diharap harapkan Ibnu Ummi Maktum. Walaupun Allah سبحانه وتعالى telah memaafkan Ibnu Ummi Maktum dan orang-orang uzur sepertinya untuk tidak berjihad, namun beliau enggan bersantai-santai bersama orang-orang yang tidak turut berperang. Ibnu Ummi Maktum tetap kuat hasratnya untuk dapat berperang bersama barisan kaum mujahidin.

.

.

Turut Berperang

.

Abdullah bin Ummi Maktum tetap membulatkan tekad untuk turut berperang fi sabilillah. Beliau telah mengutarakan hasratnya ini sehingga berkali-kali. Katanya kepada sahabat-sahabat Rasulullah ﷺ, “Letakkan aku di antara dua barisan sebagai pembawa bendera. Aku akan memegangnya erat-erat untuk kamu. Aku buta, kerana itu aku pasti tidak akan lari.”

.

Pada tahun ke 14 Hijrah, Khalifah Umar bin Khatab memutuskan akan berperang memasuki Parsi untuk menggulingkan kerajaan kufur yang zalim dan menggantikannya dengan pemerintahan Islam yang adil dan bertauhid. Kaum Muslimin dari segenap penjuru di Kota Madinah bagi memenuhi panggilan Khalifah Umar. Di antara mereka itu termasuklah Abdullah Ibnu Ummi Maktum, seorang yang buta tetapi memiliki semangat jihad yang tinggi.

Dalam sejarah peperangan Islam, beliaulah orang buta pertama yang turut serta berperang demi memartabatkan Islam.

Sebaik sahaja pasukan besar itu sampai di Qadisiyah, Abdullah Ibnu Ummi Maktum memakai baju besi dan kelengkapan yang sempurna. Ketika perang Qadisiyah itulah Abdullah Ibnu Ummi Maktum tampil bertugas sebagai pembawa panji (bendera) berwarna hitam bagi pasukan kaum muslimin dan berjanji akan sentiasa mengibarkannya atau mati di samping bendera itu.

Pada hari ke tiga peperangan Qadisiyah, berlaku pertempuran hebat, yang belum pernah disaksikan sebelumnya. Kaum muslimin berjaya memenangi pertempuran tersebut dengan kemenangan paling besar yang belum pernah berlaku. Maka berpindahlah kekuasaan kerajaan Parsi yang besar ke tangan kaum muslimin.

Kemenangan yang meyakinkan itu dibayar dengan darah dan jiwa ratusan syuhada. Di antara mereka yang syahid itu termasuklah Abdullah Ibnu Ummi Maktum, seorang buta yang dimuliakan Nabi. Beliau ditemui syahid berlumuran darah sambil memeluk salah satu bendera kaum muslimin. Sejarah tadi tertunduk di hadapan perjalanan hidup lelaki yang agung ini. Akhirnya Saiyidina Abdullah bin Ummi Maktum dimaqamkan di Syria.

Betapa jarang dan sedikit sekali seseorang seperti Saiyidina Abdullah Ibnu Ummi Maktum yang dicatat sedemikian rupa kehidupannya oleh sejarah.

.

.

والله أعلم بالصواب

Wallahu A’lam Bish Shawab

(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

~ shafiqolbu ~

.

.

2 responses to this post.

  1. Cerita yang sangat menginsafkan dan menyedarkan diri yang kealpaan. Teruskan berkongsi ilmu . Terima kasih.

    Reply

  2. […] mendidik Rasulullah SAW dengan menegur layanan baginda terhadap seorang sahabat yang buta bernama Abdullah bin Ummi Maktum ketika baginda sibuk berbincang dengan pembesar Quraish Ubayy bin Khalaf. Imam Ibn Katsir […]

    Reply

Leave a comment